RSS

Wednesday 12 October 2011

Petua bercinta dengan Allah~

Sesungguhnya cinta adalah fitrah manusia, dan cinta juga sentiasa menjadi buruan manusia. Namun, cinta yang diburu setiap manusia itu berbeza-beza, ada yang memburu cinta harta, wanita, lelaki, pangkat, darjat dan sebagainya. Mungkin ada yang bahagia apabila memperoleh cinta yang diburunya itu, tetapi hakikatnya seringkali cinta itu membawa pada kecewa dan putus asa.

Cinta hakiki yang tidak akan mengecewakan kita ialah cinta pada Allah, sekaligus akan akan menerbitkan pula rasa cinta pada kekasih-Nya, dan agama-Nya. Inilah kesimpulan yang saya dapat buat selepas membaca sebuah artikel di majalah Solusi. Mungkin petua-petua berikut boleh dijadikan amalan untuk merasai manisnya mencintai Allah S.W.T.


Amalkan segala suruhan Allah dengan sungguh-sungguh tanpa banyak soal dan alasan.


Jauhi larangan Allah dan jangan sesekali mendekatinya apatah lagi melakukannya. Simpanlah rasa tidak sedap hati saat pertama kali melakukan sesuatu yang dimurkai Allah sebagai bekalan menjauhkan diri daripada maksiat.


Letakkan Allah sebagai prioriti dalam hidup dan dahulukanlah Allah dalam segala sesuatu, tidak kira ketika melakukan ibadah atau saat perlukan pertolongan.


Sentiasa berdoa dalam setiap perbuatan kerana itu akan mengingatkan kita kepada Allah setiap masa.


Redha atas segala ketentuan qada' dan qadar terutamanya jika ditimpa musibah.


Kerahkan semua anggota badan mentaati Allah, termasuk hati dan juga lidah.


Anggap dunia sebagai penjara. Abu Hurairah pernah meriwayatkan sabda Rasululullah S.A.W yang bermaksud " Dunia itu penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir" (Riwayat Muslim) Apakah bekalan yang biasanya dibawa balik oleh seorang banduan? Adakah mereka mampu membawa harta atau sijil yang mengiktiraf tahap inteleknya? Banduan biasanya hanya mampu membawa keluar sama ada sikap lamanya atau hati yang bersih.


Renew. Sentiasalah perbaharui cinta kepada Allah. Dunia ini melelahkan kerana tempat beristrirahat hanyalah di akhirat. Lepas satu kebaikan dan ibadah dikerjakan, lakukanlah yang lain pula.


Aktif. Seorang hamba yang mencintai Allah akan jadi ibarat peniaga yang tamak, pantang ada peluang melakukan ibadah akan terus dilaksanakan tanpa tawar menawar.


Ikhlas. Pastikan cinta kepada Allah hanya semata-mata untuk mendapatkan keredhaan-NYA.


Pinta. Jangnlah kita anggap bahawa dengan amal ibadah semata-mata telah menyampaikan diri kita kepada cinta-NYA. Oleh sebab itu, pintalah daripada Allah akan cinta-NYA, dan laksanakanlah amalan yang disukai-NYA.


Cintailah apa sahaja yang disukai Allah dan bencilah apa yang dibenci-NYA.

p/s:  petua-petua ini diambil dari majalah solusi/isu 23/ helaian 19